Pages

CERITA NENEK




Cerita ini ditulis dalam bahasa Melayu. Sebuah cerita yang inspiratif dan memiliki nilai-nilai yang baik dan Mulia.


Oleh: AC Jaffrie

 

Nama aku Aminah. Aku berumur sepuluh tahun. Setiap kali pulang dari sekolah, aku akan ke rumah nenek dahulu. Jarak rumah aku dengan rumah nenek tidak jauh sangat. Hanya selang beberapa buah rumah. 


Biasanya selepas menikmati makan tengah hari, aku akan bersama nenek untuk menunaikan salat zohor. Selalunya nenek akan bersalat di hadapan dan aku bersalat di belakangnya. Selesai menunaikan salat, nenek akan segera memanggil aku untuk mengaji muqaddam pula.

“Dah habis mengaji baru kamu boleh pergi bermain,” ujar nenek kepada aku.

“Baik, nek,” jawab aku perlahan sambil mengangguk.


Aku akur dengan kata nenek. Setiap kali pulang dari sekolah aku akan duduk di rumah nenek sebentar sementara menunggu ibu atau ayah datang. Ibu tidak bekerja. Tugasnya sepenuh masa sebagai suri rumah tangga. Manakala ayah pula seorang posmen. Kebiasaannya ibu yang akan datang mengambil aku di rumah nenek. Manakala ayah selalu pulang lewat. 


Jadi aku akan menghabiskan masa duduk di rumah nenek sehingga waktu asar. Selalunya waktu begini, ibu akan datang menjemput aku pulang ke rumah.


Nek Tipah atau lebih mesra disapa Nek Pah tinggal sendirian di rumah itu. Sejak Tok Mail, suaminya meninggal dunia kira-kira sepuluh tahun dahulu. Nek Pah sudah biasa hidup sendiri. Ibu ada mengajak Nek Pah tinggal bersama mereka tetapi Nek Pah tidak mahu. Dia lebih selesa tinggal di rumah tinggalan arwah suaminya.


“Kenapa nenek tak mahu tinggal di rumah Min?” tanya aku suatu petang.

“Nenek dah biasa duduk sendiri. Lagipun apa nenek nak takut, sebelah rumah ni ada jiran yang selalu membantu nenek,” beritahu Nek Pah.

“Tapi kalau nenek sakit?” tanya aku lagi.

“Kamulah temankan nenek!” tukas Nek Pah seperti berseloroh.


Aku senyum. Bila cuti sekolah, aku pernah tidur di rumah nenek. Aku tahu nenek memang tidak mahu menyusahkan anak-anaknya. Lagipun kudratnya masih kuat walaupun usianya sudah mencecah umur 72 tahun. Dia masih larat lagi berjalan dan membuat kerja-kerja yang ringan. Nek Pah juga masih lagi mampu untuk menguruskan dirinya sendiri. Makan, minum dan pakaian semua diuruskan sendiri. Sesekali bila ibu datang, dia akan membantu menguruskan apa-apa keperluan nenek.


Ada lagi satu sebab kenapa aku suka duduk di rumah Nek Pah. Nek Pah suka bercerita. Banyak cerita menarik yang akan diceritakan setiap kali lepas habis mengaji. Antaranya kisah-kisah haiwan yang pandai berkata-kata. Misalnya cerita sang kancil, seekor haiwan yang berbadan kecil tetapi mempunyai akal yang bijak. Banyak haiwan yang bertubuh besar seperti buaya, ular dan lain-lain dapat dikalahkan. Nenek ada berkata, kita hidup mesti menggunakan akal.

“Biar badan kecil tapi mesti ada akal yang besar macam sang kancil tu,” beritahu Nek Pah.


“Terima kasih, nenek. Min seronok dengar cerita sang kancil,” ucap aku lagi.

Cerita hari ini sangat menghiburkan. Ada juga pengajaran yang berguna. Nek Pah bercerita kisah sang kancil yang mahu menyeberang sungai tetapi tiada jambatan mahu ke seberang. Di dalam sungai pula terdapat banyak buaya yang ganas. Kalau sang kancil tersilap langkah, sudah tentu dia akan jadi makanan kepada sang buaya yang banyak itu. 

“Min, macam mana sang kancil mahu ke seberang sungai?” soal Nek Pah kepada aku.


Aku terdiam. Aku cuba berfikir bagaimana cara sang kancil mahu ke seberang sungai. Di seberang sungai pula terdapat makanan yang enak.

“Sang kancil akan berenang,” aku cuba menjawab.

“Belum sempat berenang, sang buaya dah makan sang kancil,” jawab Nek Pah sambil ketawa.


“Habis tu macam mana, nek?” soal aku lagi.

“Kancil ni sangat cerdik. Dia mendapat akal mahu membilang berapa ekor buaya yang ada dalam sungai itu. Dia meminta buaya-buaya itu beratur dari tebing sini ke tebing sungai sana. Sang kancil melompat dengan pantas ke belakang buaya-buaya sambil mengira jumlah buaya yang sedang beratur itu. Akhirnya dapatlah sang kancil sampai ke tebing sungai sebelah sana dan menikmati makanan yang ada,” cerita Nek Pah agak panjang. 


“Ohhh! Bijak sungguh sang kancil!” jawab aku terpegun dengan akal sang kancil itu.

“Kamu pun mesti panjang akal macam sang kancil juga,” balas Nek Pah.


Pengajaran dari cerita ini sangat berguna. Betul kata Nek Pah, kalau mahu buat sesuatu mesti berfikir dahulu. Berfikir dengan akal yang cerdik. Aku jadi penasaran dan tidak sabar untuk mendengar cerita yang lain daripada nenek. Syarat pertama, aku mesti mengaji terlebih dahulu. 

“Esok nenek akan cerita yang lain pula. 


Esok datang lagi ke rumah nenek. Lepas mengaji nenek akan cerita tentang seekor semut yang membantu sahabatnya, seekor burung merpati dari ditembak oleh seorang pemburu…” kata Nek Pah.

“Wah! Tentu seronok cerita ini. Macam mana semut nak tolong burung merpati itu, nenek?” tanya aku tidak sabar mahu tahu cerita selanjutnya.


“Kalau nak tahu ceritanya, kenalah datang mengaji esok!” jawab Nek Pah.

Aku garu kepala. Panjang sungguh akal Nek Pah. Dia mahu aku datang mengaji esok seperti biasa. Selepas mengaji baru dia akan bercerita. Setakat hari ini, aku sudah dapat menghafal beberapa ayat al-Quran dengan baik. Ayat-ayat yang mudah ini amat berguna untuk bacaan di dalam solat. 


Nek Pah seorang nenek yang terbaik dan bertanggungjawab. Dia mahu cucunya menjadi seorang muslim yang soleh. Dunia dan akhirat mesti seimbang. 

Aku memeluk Nek Pah. Aku amat berbangga kerana masih lagi mempunyai seorang nenek yang baik hati. Dia ibarat lilin. Segala ilmu dunia dan akhirat dicurahkan kepada aku. Dia juga seorang guru yang mendidik dan memberi nasihat tanpa jemu. Aku sayang Nek Pah sampai ke akhir hayatnya. 


Setiap kali selepas solat, Nek Pah selalu berpesan supaya berdoa. Aku akan berdoa memohon kepada Allah supaya mudahkan segala urusan Nek Pah serta ibu ayah. Murahkan rezeki mereka dan hidup aman tenteram sepanjang hayat.

“Terima kasih, Nek Pah. Min akan ingat semua pesan Nek Pah,” ucap aku bercampur sebak. 

“Min mesti jadi seorang cucu yang baik. Sentiasa mendengar kata ibu dan ayah. Mesti rajin belajar supaya senang di masa depan,” pesan Nek Pah lagi.

Pelukan kami berdua semakin erat. 


Beruntungnya aku mempunyai seorang insan yang sangat hebat. Nek Pah adalah pemberi semangat untuk aku berjaya dalam hidup. Ibu dan ayah juga tidak terkecuali mendorong aku supaya belajar rajin-rajin di sekolah. Mereka berdua juga memberi nasihat kepada aku. Hormati semua guru dan berkawan dengan sahabat yang baik. Semua pesan berguna ini aku semat di dalam hati.

 

Rumah Bonda, Melaka

14 Januari 2025

 


 

Bionarasi


AC JAFFRIE, sudah lama menulis, pemegang Ijazah Sarjanamuda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1986-1990).

Genre penulisan seperti cerita kanak-kanak, cerpen, sajak, novel dan pantun. Ahli persatuan penulis badan gabungan GAPENA iaitu Ikatan Persuratan Melayu (IPM)Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) dan Lembaga Bahasa Melayu (LBM). Penerima Anugerah Kalam Sastera dari PENAMA (November 2024) dan Anugerah Tinta Inspirasi dari IPM (Disember 2024).




Majalahanakcerdas.com

Majalah Anak Cerdas,

1 komentar:

  1. Cerita yang sangat menarik sarat makna, mestilah karya ini dibaca oleh banyak orang, tidak hanya anak-anak tetapi juga orang tua.

    BalasHapus